Archive for October, 2008

Pulau Ketam

Posted in photojournalism with tags on October 28, 2008 by izamree

Dalam perjalan menuju ke Pelabuhan Kelang, hujan renyai-renyai dan awan mendung berat kelihatan berlegar dikepala kami. Cuaca seperti tidak mengizinkan kami mencari bahan menarik di Pulau Ketam, Selangor.
Sesampai di Jeti Pulau Ketam yang berhampiran dengan station keretapi komuter Pelabuhan Kelang atau lebih dikenali oleh pekerja-pekerja Indonesia sebagai jeti pintu masuk mencari rezeki di Malaysia, keadaan agak sibuk dengan rakyat asing yang menanti kehadiran sanak saudara ataupun menuju pulang ke tanahair masing-masing.

Tepat pada jam 8.45 pagi ferri berhawa dingin menuju Pulau Ketam sedang menunggu kami di jeti dengan kadar tambang RM7 seorang. Perjalanan menuju Pulau Ketam mengambil masa lebih kurang 45 minit.



Sesampai di Jeti Pulau Ketam, kerja-kerja memunggah barang dari tanah besar untuk jualan penduduk di pulau sudah menjadi rutin harian. Bahan-bahan mentah seperti mee, roti, ayam, sayuran dan makanan asas yang lain. Keunikkan pulau ini sudah dapat dilihat dari jeti ini, kenderaan bermotor dilarang sama sekali berada di pulau ini atas arahan kerajaan Selangor, sekaligus memperlihatkan penggunaan basikal menjadi kenderaan utama di pulau ini. Manakala, barangan dari pulau yang berasaskan makanan laut pula mengambil tempat untuk ‘di eksport’ keluar dari Pulau Ketam. Ikan kering, Yong Tau Foo, sotong, udang dan yang paling utama ketam adalah barangan dagangan penduduk pulau ini.
Penduduk di pulau ini tidak menghiraukan kehadiran kami, mungkin mereka sudah biasa dengan photographer yang selalu ke sini untuk tujuan yang sama. Ia memberi kelebihan kepada kami, kerana dapat merakamkan moment yang lebih spontan atau candid shot yang menarik.


Inilah pintu masuk ke pekan Pulau Ketam, ia merupakan terowong sebuah bangunan papan 2 tingkat yang menempatkan Bomba sukarela di pulau ini. Walaupun perkhidmatan bomba sukarela ini tidaklah lengkap dengan peralatan memadam api akan tetapi kewujudannya amat penting bagi penduduk di pulau ini.



Pulau Ketam pada awalnya adalah sebuah pulau pokok kayu bakau dan hanya menjadi persinggahan nelayan serta menjadi kawasan penangkapan ketam yang banyak di pulau ini. Pada tahun 1883, tiga nelayan Hainan yang berasal dari Pelabuhan Kelang mendirikan pondok untuk bermalam dan seterusnya mendirikan rumah untuk terus menetap disini. Bermula dari detik itu pulau ini mula menjadi penempatan kepada nelayan yang kebanyakkannya berbangsa cina Teochew, Hokkien dan Hainan. Hanya terdapat 2 biji rumah orang melayu yang terdiri dari kakitangan Klinik Desa, balai polis dan cikgu sekolah.
Kelihatan juga beberapa pekerja Indonesia yang menjadi buruh serta nelayan disini dan sekaligus menambah kepadatan penduduk Pulau Ketam yang aman dan damai.


Jambatan batu curam atau ‘Couple Bridge’ yang menyatukan setiap lorong disini memainkan peranan yang penting bagi kemudahan pengangkutan. Pulau ini terbahagi kepada 2 kawasan penempatan iaitu Kampung Pulau Ketam dan Kampung Sungai Lima, kedua-dua kampung dipisahkan oleh hutan bakau dan tiada jalan darat yang menyambung kedua-duanya.
Jika teringin merasai ketam segar dan masakan laut yang istimewa, Pulau Ketam adalah destinasinya. Terdapat hotel dan Homestay yang disediakan dengan harga yang perpatutan. Bersedialah untuk berbasikal mengelilingi pulau ini dan beramah-mesra dengan penduduk kampung. Kerana kehadiran anda sentiasa disambut dengan senyuman. Yang pasti, penduduk yang agak berusia atau pesara adalah majoriti penghuni pulau yang unik ini.

‘..what a crab..’
Sekian

kedai antik

Posted in photojournalism on October 18, 2008 by izamree

Sepatutnya aku menuju terus ke ladang lembu tenusu di Lenggeng, tapi, memandangkan hujan renyai-renyai aku singgah sebentar di pekan Beranang. Tujuan terlajak di pekan ini juga ada bahan yang aku idam-idamkan, iaitu mencari basikal antik untuk koleksi peribadi atau menambahkan semak dirumah. Didalam benak, hanya satu sahaja tempat yang menjual basikal antik atau basikal tua ini. Aku terus menuju Beranang Antique, satu-satunya kedai antik di pekan Beranang ini. Aku bernasib baik kerana dapat bertemu dengan tokey atau pemilik kedai Beranang Antique ini. Bermula dengan membelek-belek basikal antik yang dipamerkan aku memulakan bicara. Encik Ahmad Mazlan Ma’aruf pemilik Beranang Antique begitu mesra dan peramah menawarkan harga dan bercerita mengenai barang miliknya. Terpesona aku melihat basikal seketika, barang yang diidam ada didepan mata, tetapi harga membuat aku memendam rasa. Sesungguhnya barang ini tinggi nilainya, kerana dipasaran telah pun tiada.
Koleksi antik ini basikal tua, cuma 2 sahaja untuk jualannya, manakala yang satu simpanan sahaja. Tiada harga untuk basikal Pos Malaysia, biarpun tinggi ditawar harga.
. Mulalah episod mengenai diri dan koleksinya. Abang Mazlan tidak kedekut bicara, mulut petah sejarah dibuka. Kedai antik ini empat tahun usianya, ingin lari dari hening kota, menetap di Beranang untuk bertapa, agar tenang jiwa dan raga.

‘Disini ada damai..disini ada ketenangan dan disini ada tempat memancing’ tambah beliau yang begitu kagum dengan kehidupan di pekan Beranang. Kata-kata beliau menggambarkan bahawa pekan ini adalah tempat untuk beliau dan isteri diami selamanya.


Keseluruhan barang antik yang dijual adalah koleksi peribadi beliau sendiri, dan menganggap kedai ini sebagai galeri pameran barangan beliau. Timbul minat mengumpul barang antik ini ketika berada di Kota London semasa menuntut ilmu disana, didalam jurusan Business & Administration beliau banyak merantau termasuk menjadi tukang masak di Swiss.

Hampir 20 tahun beliau mengumpul barangan antik ini, dan tidak pernah terlintas untuk membuka kedai antik sebaliknya cita-cita ketika pulang ke Malaysia ingin membuka sebuah restoran yang berkonsepkan antik, tetapi cita-cita itu dipendamkan sahaja ketika ini. Dalam banyak-banyak koleksi beliau, hanya satu barangan yang menjadi milik peribadi dan tidak dipamerkan adalah ‘Perisai Baju Gladiator’..ia adalah perisai yang tulin dan berusia beratus tahun.
Ramai juga rakan disekitar pekan ini hairan dan bertanya adakah ia mampu menyara hidup dengan berniaga barangan antik di pekan kecil ini, sambil tersenyum beliau berkata “rezeki ada dimana-mana”.
Memang tepat kata-kata itu kerana kedainya sentiasa menjadi buruan peminat-peminat koleksi antik dimerata Malaysia dan dunia. Disinilah tempat persinggahan sebelum peminat antik ini meneruskan perjalanan ke Kota Melaka (Jonker Street).

Soalan cepu emas kepada beliau, siapakah yang akan mewarisi perniagaan ini sekiranya beliau tiada kelak? Adakah segala koleksi ini akan diserah kepada pihak Muzium?..

Anak beliau tidak berminat terhadap koleksi ini dan amat berharap cucunya akan mewarisi koleksi berharga ini kelak jika minat itu lahir sendiri, kerana beliau perlu mendidik penjaga koleksi sebelum menyerahkan ‘tugas rasmi’ ini. Terlalu banyak cerita disebalik setiap koleksi dan sejarah yang perlu diketahui untuk mewarisi koleksi ini. Untuk menyerahkan kepada pihak muzium tidak sekali, tiada sebab mengapa beliau enggan berbuat demikian.

#yang lama berharga manakala yang baru dihargai.

Beranang Antique
98, Jalan Besar, Pekan Beranang
43700 Beranang, Selangor, Malaysia

Sekian

pejuang dan station minyak

Posted in photojournalism with tags on October 14, 2008 by izamree

Di Kampung Jai, Lenggeng Negeri Sembilan terdapat station minyak yang unik dan tersendiri. Kewujudannya amat diperlukan oleh penduduk kampung ini. Walaupun station minyak ini tidaklah secanggih mana akan tetapi perkhidmatannya setanding station minyak moden.
Tiada logo atau brand popular yang mampu menarik pelanggan..tiada warna korporat yang menghiasi dinding station ini..tiada kedai serbanika yang dipenuhi jajan-jajan. Hanya mempunyai 2 petrol pump yang masih menggunakan sistem analog. Sungguhpun station minyak ini serba kekurangan, akan tetapi servis yang diberikan adalah mesra pengguna.Tiada layan diri disini, setiap pelanggan akan dilayan oleh seorang pakcik yang mengelar dirinya sebagai Atuk.

Beliau merupakan pump attendant di station minyak unik ini. Orangnya agak petah berkata-kata dan merupakan bekas pejuang tanah air ketika di zaman British lagi. Nama beliau Omar Abdullah yang memiliki permit lesen memandu dari War British Department. Beliau cukup bersemangat ketika menceritakan detik-detik perjuangan di zaman British. Perang Jepun, kominis, konfrantasi dan 13 Mei.. dan setiap patah perkataan yang keluar dari mulut beliau menunjukkan betapa sengsaranya kehidupan remaja beliau. Walaupun beliau amat bersemangat ingin menceritakan setiap peristiwa yang dilalui, akan tetapi pelanggan station minyak ini bagaikan tidak mengizinkan beliau berceloteh panjang. Keadaan semakin sibuk dengan kereta, motosikal dan lori yang mula berbaris menanti khidmatnya.

Dalam pada itu, lensa kamera berpaling kepada dua warga emas yang sedang asyik berbual di penjuru station minyak. Kami bernasib baik hari ini, kedua mereka merupakan rakan seperjuangan Atuk, yang sama-sama menggangkat senjata mempertahankan kedaulatan tanah melayu ketika itu.

Tuan Hj Talib berasal dari Kampung Jai ini, lahir pada tahun 1916 ..wow! beliau mencecah usia 92 tahun..masih lagi sihat?!. Beliau sempat mengutarakan pujangga berlograt nogori..yang berbunyi..
“Jasomu tak dikonang-konang..abih tuo kek beranang..hari dah makin potang..dah hampir kek topi lobang”. Cukup mendalam pujangga beliau yang masih berharap jasa para pejuang sezaman beliau diiktiraf oleh kerajaan dan diberi sedikit imbuhan perjuangan sebelum beliau menutup mata.

Tuan Hj Latip berasal dari Kg.Bukit Kepung, Beranang juga merupakan pejuang tanahair yang berkhidmat ketika British masih menakluk Malaya turut menceritakan serba sedikit keperitan peperangan menentang jepun. Dan sebagai pejuang sejati tanahair..mereka ini tidak pernah menyesal dengan keadaan ketika itu malah berbangga kerana dapat menabur jasa demi tanahair tercinta.

Perasaan bangga terdetik dihati kami apabila kedua mereka mengucapkan perkataan ‘terima kasih’ kerana ada anak muda yang sudi bertanya khabar dan merakamkan wajah mereka bagi tatapan umum. Dalam seumur hidup mereka, ini merupakan kali pertama mereka diajukan soal perjuangan.
Dan perjuangan mereka ini akan terus bersemadi satu hari nanti. Umpama station minyak yang menanti hari..tidak mungkin ia akan terus berdiri, kerana zaman silih berganti, yang lama pasti pergi..yang baru bakal mengganti.

Sekian.

kedai gunting

Posted in photojournalism with tags on October 9, 2008 by izamree

Syawal sudah 4 hari berlalu, rambut yang sepatutnya bergunting dipagi raya, baru hari ini ada kesempatan masa. Dalam mencari nasi kandar di Teluk Bahang, Pulau Pinang..aku ternampak kedai gunting rambut yang agak antik di pekan kecil ini. Hah! bakal menjadi sasaran bahan blog aku kali ini.

Tiada ukiran senyum dari tukang gunting, tapi aku agak peramah memula bicara kerana ada udang disebalik batu…untuk mendapatkan ‘lesen’ merakamkan gambar kedai gunting beliau.

Rahmat namanya, beliau sudah hampir 20 tahun memberikan khidmat dipekan ini. Kedai gunting ini telah berada dipekan Teluk Bahang kira-kira 60 tahun lamanya. Huh! sebelum merdeka, ini bermakna kedai ini telah beroperasi ketika perang jepun lagi. Tambah beliau kedai gunting ini dibuka oleh pakciknya yang berasal dari India dan dialah yang menyambung perniagaan ini sehingga sekarang.

Dahulu kedai guntingnya dipenuhi setiap hari oleh penduduk tempatan mahupun pelancong asing. Tetapi, selepas Hotel Mutiara ditutup kira-kira 4 tahun lepas, perniagaannya agak berkurangan.Warga asing terutama warga British dan Amerika adalah pelanggan yang ‘menyerah diri’ mencuba sekali seumur hidup dikedai gunting yang satu-satunya di pekan Teluk Bahang ini.

Perasaan bangga terpancar diwajah beliau kerana dapat memberikan khidmat kepada pelanggannya yang berbilang kaum.


Kebanyakan peralatan dikedai gunting beliau sudah tiada dipasaran. Kesukaran mendapatkan alat ganti atau mendapatkan barang yang sama kualiti sudah tiada lagi. Kerusi Barber yang dibuat dari kilang Heng Lee, Penang dan berus rambut kayu sudah lama menjadi sejarah. Akan tetapi ia masih boleh digunakan dan merupakan barang kesayangan beliau.

Tetapi, Rahmat tetap setia menanti pelanggan yang memerlukan khidmatnya. Untuk menambah nilai kedai gunting ini, beliau juga merupakan agen prepaid card. Caj yang agak berpatutan RM6 untuk gunting manakala tambahan RM4 untuk bercukur merupakan harga biasa katanya.

Persekitaran didalam kedai dan diluar kedai gunting dan segala kehidupan di pekan Teluk Bahang amat tenang dan tenteram sekali. Tidak pula diketahui, adakah anak beliau akan meneruskan tradisi ini kelak.

Sekian

penemuan tembok portugis

Posted in photojournalism on October 8, 2008 by izamree

Dalam perjalanan menuju Kota A Famosa di Melaka, kami terserempak dengan kawasan tertutup ditepi jalan berhadapan dengan Kincir Air Kesultanan Melaka. Selepas menjenguk ke kawasan larangan itu didapati beberapa pekerja sedang mengali lubang yang agak besar. Pada mulanya, sangkaan kami kerja-kerja mengorek lubang telco yang biasa kita lihat dibandar-bandar. Akan tetapi, kami dapati ia merupakan kerja-kerja mengorek peninggalan sejarah tembok Portugis/Belanda. Apalagi, kami meredah masuk tapak larangan itu dengan memulakan perbualan dengan kakitangan arkeologi yang sedang sibuk menggali lubang penemuan itu.


Menurut kakitangan arkeologi ini, tembok batu laterit sepanjang sembilan meter dengan kedalaman 2.28 meter didedahkan, namun ketebalan sebenar tembok belum dapat dipastikan kerana kerja eskavasi secara berhati-hati masih diteruskan bagi mengelakkan tembok itu rosak. .Kemungkinan besar penjuru yang ditemui adalah bastion kedua yang dinamakan Bastion Middelsburgh, iaitu bastion yang mengawasi laluan Sungai Melaka sejak zaman Portugis pada abad ke-16. Dikenal pasti pihak Belanda juga telah membina tembok pada tapak yang sama apabila didapati perbezaan pada batu-batuan yang digunakan.


Tambah beliau, terdapat juga penemuan rangka-rangka manusia ketika kerja-kerja mengali dijalankan dan dikenal pasti adalah rangka manusia ketika penjajahan Portugis dan Belanda. Perzim bersama Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN) memulakan kerja eskavasi pada 26 November 2006 dengan JWN bertanggungjawab menyelia keseluruhan kerja dan merekodkan semua pelaksanaan kerja serta penemuan setiap hari.


Peranan bastion berkenaan adalah bagi mengawal laluan keluar masuk ke pelabuhan Sungai Melaka pada zaman berkenaan yang berada dekat kawasan menara jam sekarang.Ia juga antara kota Eropah yang tertua dari India ke Asia Timur dan antara kawasan yang masih boleh dilihat bukti kota kerana bahagian lain telah berada di bawah projek pembangunan lain. Kawasan sama juga adalah pelabuhan tua paling sibuk yang semua aktiviti punggah memunggah barang dagangan dilakukan.

Barang diingat kejatuhan Melaka berpunca dari ‘orang dalam’ juga, terutama pembesar-pembesar Kesultanan Melayu Melaka ketika itu..maka, jadikanlah ia sebagai pengajaran supaya jangan nanti Malaysia juga ranap dengan ‘pembesar-pembesar’ terkini.

Sekian.