palembang- hari 2
Destinasi hari ke-2 adalah ke Pulau Kemaro yang terletak ditengah-tengah persimpangan Sungai Musi. Manakala, perut perlu diisi sebagai bekalan di Pulau Kemaro. Jetinya terletak dibawah Jambatan Ampera.
Kami mencuba makanan ’snak’ di jeti ini. Empek-empek rasanya seperti keropok lekor dengan bercecahkan cili.
Suasana disekitar dipenuhi oleh penjaja jalanan yang akan bekejar ke arah mangsa sambil menawarkan pelbagai barangan. 
Palembang banyak menghidangkan aksi kanak-kanak yang spontan. Walaupun hidup didalam kesempitan, akan tetapi, ketika bermain adalah waktu untuk bergembira riang.
Kami menyewa sebuah bot laju yang boleh memuatkan 6 orang penumpang dengan kadar bayaran sebanyak 150,000 rupiah pergi dan balik.
Keadaan bot dengan permukaan air hanya sejengkal jari.
Cukup mengerunkan, bot sekecil ini memecut laju memecah Sungai Musi dengan dibadai ombak gelora angkara bot-bot penumpang lain. 
Dalam pada itu, Sungai Musi turut memaparkan kehidupan penduduk Palembang yang mengalir bagaikan sungai meneruskan hidup dengan bergantung sepenuhnya terhadap saliran keramat ini.


Sungai Musi merupakan laluan air yang cukup sibuk, bukan saja ‘bot-bot rempit’.. bahkan, kapal-kapal besar, kapal pengangkut, bot tunda, rumah terapung dan pelbagai kenderaan air yang menjadikan sungai ini ‘trafik’
paling sesak.


Lebih kurang 20 minit kami dihambat badai, kelihatan sayup-sayup pagoda di Pulau Kemaro yang terletak ditengah-tengah Sungai Musi. Katanya pulau ini tidak pernah ditenggelami banjir walaupun sekitar tebing Musi dilanda bah. Nama Kemaro juga berasal dari perkataan kemarau.
Mengikut kisahnya, kejadian pulau ini timbul secara tiba-tiba di Sungai Musi ini angkara cinta terhalang.
Dipercayai terdapat makam Tan Bun An (putera asal dari Tiongkok) dan Siti Fatimah (puteri Raja Palembang), dengan legenda cinta sejati antara dua bangsa dan budaya besar pada zaman dahulu.


Di Pulau Kemaro ini terdapat tokong, makam Puteri Sriwijaya Siti Fatima dan pagoda yang indah. Pulau ini akan dipenuhi oleh penduduk berbangsa Tionghua untuk merayakan perayaan Chap Goh Meh ketika menyambut tahun baru cina.
Kemeriahan Cap Go Meh di Pulau Kemaro makin terasa dengan berbagai pertunjukkan khas, seperti barongsai, opera cina dan seni tradisional etnik Tionghoa.


Selain tokong dan pagoda yang tersergam indah, lensa tertumpu kepada sekumpulan manusia yang sedang memerah keringat dibawah sinaran mentari yang terik.


Kumpulan 20 orang manusia ini sedang mengangkut pasir dari kapal pengangkut ke Pulau Kemaro. Kerja-kerja ini amat berat dan mengambil masa selama 6 jam untuk kerja-kerja memungah pasir dan dilakukan hampir setiap hari.
Bila ditanya kepada salah seorang pengangkut pasir ini, mengapa tidak digunakan jentera korek. Jawapan ringkas yang diberikan.. “nah! kalau begitu kami tiada pekerjaan..pak!”.


Kami meninggalkan Pulau Kemaro dengan lagendanya dan penghuni pulau keramat ini. Pulau yang sebesar Dataran Merdeka ini bakal dibangunkan dengan lebih pesat lagi, cuma pembinaan pasti mengambil masa yang agak lama selagi tenaga manusia tanpa jentera digunakan.

Dalam perjalanan pulang ke jeti Ampera, tiba-tiba bot laju menjadi perlahan dan terus terhenti dilaluan sibuk ini. Keadaan bertukar menjadi panik seketika kerana bot-bot laju dan kapal-kapal besar yang lalu-lalang disini tidak diberi amaran dan kerosakan bot kami tidak dibantu oleh ‘kon kecemasan’.. terdampar dan hanyut di tengah-tengah laluan ‘lebuhraya sungai’ ini. Mujur ada bot yang simpati, menarik bot kami ke tepian sebelum enjin bot dijana semula. Kurang pasti adakah penarik bot ini ‘tonto tarik bot’..kerana tiada sepatah perkataan pun yang tersembul di mulut beliau.


Lega setelah sampai di jeti Ampera, dan pastinya Sungai Musi memberi kami pengalaman baru dan kamera ‘kenyang’ dengan bahan-bahan serta aktiviti penghuninya.
Sekian.
March 7, 2009 at 10:55 am
Nice photos and articles, even an Indonesian could not capture every detail in their own daily life. Greetings form Indonesia
March 7, 2009 at 12:17 pm
tq adjie,
..they can captured.. if, ‘the gadget’ always on side..
anyway, thanx for visiting.