palembang – hari 1
Penerbangan ke Palembang, bandar Srivijaya ini dari LCCT, KLIA hanya mengambil masa lebih kurang 45minit dengan tambang pergi-balik 300 ringgit sahaja. Agak berbaloi untuk berlibur atau dengan perkataan yang lebih tepat ‘pergi memburu’. Puas juga meredah internet mencari ‘lubuk-lubuk buruan’, ternyata kekurangan informasi yang boleh membantu ‘peta’ buruan kami.
Palembang terletak jauh dari lautan, akan tetapi, Palembang dilingkari oleh sungai-sungai yang boleh dimudik sehingga hampir ke seluruh daerah sekitar.
Sungai merupakan jaringan perhubungan yang paling tua di Palembang dan masih terpenting sehingga kini. Sungai-sungai ini memaparkan aktiviti manusia yang hidup dengan alam sekitar serta menggunakan sungai sebagai sumber bekalan air.
Penduduk Palembang agak mesra dengan ‘pendatang asing’ lebih-lebih lagi kelihatan ‘gadget’ tersangkut di tengkuk. Mudah memberikan ‘post’ spontan dan suka ‘di gambarin‘ (bergambar).
Kami singgah di Muzium Srivijaya, Sumatra Selatan ini bagi menjenguk peninggalan khazanah Datuk Parameswara, founder of Kesultanan Melaka. Hampa.. ‘hidangan’ kami hanyalah sebuah ‘balairong seri’ dan seketul batu asas perasmian tapak sejarah ini oleh Suharto. Dimana Parameswara?
Kami tinggalkan Parameswara dengan ‘Batu Asas’nya, …’mangsa buruan’ masih belum penuh dan kad memori kamera masih banyak ruang kosong. Perjalanan diteruskan, mencari ‘bayang-bayang’ Parameswara di Kota Srivijaya ini.
Tenunan Songket Palembang agak terkenal didaerah ini. Kerja-kerja menenun dilakukan oleh gadis-gadis muda yang begitu pakar bermain dengan benang. Dan kepantasan mereka menenun bukanlah jaminan menyiapkan sebidang kain songket seharian. Ia mengambil masa berbulan bagi menyiapkan 2 meter songket yang berkualiti.

Didalam kesibukan memburu bahan, kami turut memburu makanan di Palembang ini, dan masakan Pindang adalah jamuan istimewa. Tiada perkataan yang boleh ditulis untuk mengambarkan rasa sebenar pindang.

Mula menyusur masuk ke Kota Palembang, maka terhidang pula pandangan yang amat biasa disetiap kota di Indonesia. Penjaja dan anak kecil meminta simpati menghiasi jalanan. Kekadang menyentuh perasaan bila melihat keadaan anak-anak kecil digendong oleh ‘ibu kecil’ yang menadah sedekah.
Jambatan kebanggan penduduk Palembang, iaitu Jambatan Ampera yang merupakan mercu ‘visata’ atau tempat yang wajib dilawati. Ia umpama Golden Gates, San Francisco, cuma jambatan yang boleh diangkat-angkat untuk laluan kapal-kapal besar sudah tidak berfungsi lagi.
Sungai yang mengalir dibawah Jambatan Ampera adalah Sungai Musi, ia begitu penting bagi pergerakkan ekonomi Palembang. Sepanjang sungai yang lebar ini kelihatan aktiviti-aktiviti perusahaan yang menjadikan sungai ini sebagai laluan utama. Pelabuhan, kilang, pasar dan rumah-rumah terapung dibina ditebing-tebing sungai.

Kota Sriwijaya, kampung Parameswara
Sekian.