Terutama sekali ucapan Selamat Tahun Baru 2009, fotoblog yang pertama pada tahun ini. Dan tahun baru kali ini disambut di tanah Jawa Tengah yang menjadi destinasi memburu, ini merupakan kali kedua menjejakkan kaki dibumi Kraton. ‘Laman Buruan’ adalah Borobudur, yang terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari Bandar Solo.


Dan sepanjang perjalanan ke Borobudur kami bakal melintasi Gunung Merapi, iaitu gunung berapi yang masih aktif sehingga kini dan paling bahaya didunia. Merapi berpendudukan padat dikawasan sekitarnya.
Perjalanan naik-bukit turun-bukit tidak terasa akibat panorama yang cukup hebat. Alam sekitar yang masih dara menyerlahkan keindahan daerah yang terletak dibahagian utara Yogjakarta.
CEPOGO, Boyolali

Selepas 1 jam perjalanan dari Solo, kami sampai disebuah pasar yang terletak dicelah-celah Gunung Merapi. Pekan Cepogo yang terletak di daerah Boyolali, Jawa Tengah telah ‘menghadiahkan’ permandangan yang benar-benar unik untuk tatapan.


Bermacam jualan ditawarkan di Pasar Cepogo ini, terdapat juga sejenis makanan yang dijual, merupakan makan yang terawal manusia sebelum beras nasi dijumpai. Bentuknya seperti sagu dan dimakan bersama sayuran berserta kelapa parut.

Pasar Cepogo klasik ini benar-benar memukau lensa kamera, segala pergerakan, perwatakan manusia amat berbeza dari pandangan mata. Mereka adalah petani disekitar daerah Boyolali yang menjaja, berniaga dan menjadi pelanggan di pasar ini.

Jika diamati, kebanyakan pergerakan ekonomi disini diungguli oleh kaum wanita. Dan usia mereka juga melebihi angka 50-an, guni beras seberat 50kg adalah rutin harian yang harus diharungi. Dan yang pasti pakaian kebaya jarang dan batik menjadi baju basahan untuk ke pasar.


Lebih unik lagi lensa kamera terarah ke sekumpulan wanita yang menjaja ayam hidup dengan menjenjit ke hulu ke hilir sambil menawar harga. Ayam dagangan juga bukan sebarangan ayam, hanya yang terbaik untuk jualan.


Kehidupan yang mereka lalui cukup unik, kadang-kala kita rasa lebih beruntung hidup di tanahair, ada kemungkinan.. mereka rasa lebih beruntung tidak hidup seperti kita.

Sekian.



