..suasana pagi..
Setelah hampir sebulan tidak keluar ‘memburu’ ditanahair sendiri, kini fotoblog memaparkan keindahan ‘kawah nasi’ negeri Selangor. Sekinchan namanya, daerah yang terletak di Sabak Bernam. Merupakan kawasan penanaman padi yang ke-2 terbesar selepas Si Jelapang Padi Negara dibahagian utara tanahair. 
Perjalanan kami, dibasahi dek hujan renyai-renyai dari subuh kala lagi. Awan mendung mengekori kami bagaikan payung bergerak menuju destinasi yang sama. Jampi serampah berkumat-kamit didalam hati.. menghembus supaya awan pergi.
Nasib menyebelahi kami, hujan renyai mula berhenti, sang mentari munculkan diri, sang pelangi menerjah bumi. 
Kelihatan 2 jentera padi ditengah bendang yang terbentang luas sedang melakukan ‘warm-up’ atau pemanas enjin sebelum ‘membanting tulang’. Salam diberi sebagai tanda kehadiran kami disisi jentera perkasa ini. Tidak banyak bualan yang dapat dilepaskan kepada pemuda ini, kerana beliau begitu sibuk mengeladah ‘perut’ jentera sebagai persiapan meredah selut sawah.


Pemuda ini pendiam orangnya, tapi sempat juga melontarkan jawapan sepatah dua. Katanya, jentera menuai ini mampu ‘menelan’ hasil padi sebanyak 12 tan didalam muatannya. Kerja-kerja menuai ini mengambil masa sehingga 8 jam sehari.


Bulan November-Disember adalah waktu yang terbaik untuk melihat padi dituai, usah anda bermimpi untuk mencari warga tani yang membanting padi disini. Segala kerja menuai padi telah diambil alih oleh jentera-jentera besar dan kilang-kilang padi yang sedia berkhidmat.


Selepas sahaja jentera tuai ini bergerak, tiada lagi ayat yang dapat disumbangkan, hanya bunyi deruan enjin diesel yang mengegar bumi. Kami umpama pemburu raksaksa besi yang meratah bunting padi yang menguning.


Lori mengangkut padi juga mula mengorak langkah mengambil tempat ditepi bendang, menjadi kenderaan ‘angkut’ sebelum ‘memuntahkan’ hasil tuaian padi dikilang-kilang berhampiran.


Ketika ini, jalan-jalan lebih banyak dikuasai oleh Si Raksaksa Besi ini, bagaikan ‘Raja Jalanan’ jentera menuai ini perlu diberi laluan seluas-luasnya.
Memandangkan kedudukan bendang Sekinchan yang paling hampir dengan Kuala Lumpur, ia telah menarik penduduk kota atau lebih tepat lagi ‘pemburu gambar ‘ mendapatkan panorama sawah.
Setelah penat memburu raksaksa besi, kami singgah di warung kopi Parit 4 untuk membasahkan tekak. Kelihatan roti Sekinchan sedia terhidang diatas meja. Kelihatan juga penduduk yang sedang menikmati kopi sambil berbual-bual sebelum memulakan semula tugas masing-masing.


Beginilah suasana Bendang Sekinchan ketika musim menuai.. warganya hidup tenang dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan olehNya. ..’ikut rasmi padi makin tunduk makin berisi’..
..suasana hampir tengahari..
..Kami terus menyelinap di segenap ceruk Sekinchan, dari Jalan Parit 4 kawasan sawah, kami menyeberang ‘hi-way’ dan menuju Parit 5 dibahagian laut pula.
Bak kata orang sedikit usaha pasti berbaloi.. ..walaupun bumi Sekinchan ini tidak pernah kami jejaki tetapi ‘lens dan shutter’ sentiasa dahargakan ‘tembakan’ maut!.

Umpama langkah kanan, setiap lokasi ada pencerita menanti..salam diberi memperkenalkan diri, berbual mesra mencari ‘isi’, sambil kamera dipetik jari.
Dua sahabat sedang berbual dibawah pohon yang redup sambil mata menjenguk ke tepian lautan yang sedang surut, disitu kelihatan empat kanak-kanak yang sedang mengutip kerang untuk santapan tengahari bersama keluarga.


Kurang pasti adakah kanak-kanak ini anak nelayan yang biasa dengan bermandikan lumpur atau budak sekolah yang menghabiskan cuti sekolah hujung tahun dengan selut lumpur di pantai Sekinchan ini.
Mereka juga tergolong sebagai warga tani, cuma dunia mereka berbeza..dibendang tadi adalah ‘jagoan lintah darat’ manakala mereka pula ‘nakhota samudera lautan’.


“Sekarang bukan musim kerang, tetapi masih ada kerang yang boleh dikutip untuk santapan diatas meja sahaja”..kata salah seorang nelayan yang memberi serba sedikit informasi aktiviti penduduk kampung dan nelayan Sekinchan.
..suasana tengahari..
..kami bertukar tempat, mencari ‘makanan’ untuk santapan kamera.. biar berlapar perut asalkan kamera kenyang dengan hidangan..

Sekali lagi nasib menyebelahi kami, walaupun hujan renyai menjadi mukadimah hari ini ..tetapi ‘bahan’ yang diperolehi menyedapkan hati. Cuti sekolah menjadi alasan kepada gambar yang diperolehi, kanak-kanak kelihatan disana sini melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan oleh kanak-kanak bandar. Malah permainan mereka lebih kepada alam persekitaran.



Jika dilihat gerak-geri mereka, sah! mereka anak desa yang cukup berpengalaman untuk bebas bermain lumpur, terjun laut, mancing, melompat dari satu perahu ke perahu yang lain tanpa perasaan takut atau gerun, segalanya dilakukan secara ‘natural’ dan begitu spontan. Tiada kelihatan ibubapa yang beraut cemas atau memekik terlolong nama si anak berulang kali… tiada. Permandangan sedemikian memang tiada disini.. 

Pelbagai mainan didalam satu masa.. memperlihatkan keseronokan yang tiada batasnya, umpama Taman Kanak-kanak tanpa jongkang-jongkit, buaian atau ‘kuda spring’.
Yang pasti kanak-kanak ini tidak duduk dibawah pokok kelapa sambil menekan butang ‘PSP’.. adakah suatu hari nanti tiada lagi aksi ‘terjun tiruk’? ..tidak mustahil aksi ’stunt’ mereka bakal ‘dirampas’ oleh hero-hero games elektronik.




Penduduk Sekinchan cukup peramah, tidak pernah rasa terasing ketika berlegar disekitar ceruk kampung, terdapat juga Home Stay yang ditawarkan, dibeberapa bahagian Sekinchan ini.
Perkataan yang sesuai untuk Sekinchan adalah ‘Indah dan Permai’.
Sekian