Ketagihan merakam gambar semakin memuncak..jiwa tidak tenteram jika seminggu tidak menghunus senjata. Kali ini kami menyeberang ke negara jiran, Indonesia.
Dari Jakarta kami menyewa sebuah MPVĀ untuk ke Puncak Bogor dan disitulah bermulanya ‘petikan shutter’ sepanjang perjalanan menuju ke puncak Bogor, kami melalui Istana Bogor yang merupakan salah satu dari enam Istana Presiden Republik Indonesia yang mempunyai keunikan tersendiri. Selain Safari Malam yang bertugukan haiwan batu dipintu hadapan.

Semua laluan ini hanya selayang pandang sahaja, kerana masa tidak menyebelahi kami untuk singgah memburu.

Perjalanan dari Jakarta ke Puncak Bogor mengambil masa lebih kurang 3 jam perjalanan dan sepanjang perjalanan kami dihidangkan pelbagai panorama bumi Indonesia berbukit-bukau yang memukau kanta mata.


Luas terbentang ladang teh yang menghijau berlatarkan bukit dan langit biru yang menusuk kalbu. Disamping penghuni Bogor yang unik serta pengalaman memanjat puncak Bogor yang ‘macet’ dengan kesesakan lalu-lintas yang sibuk tidak sedikitpun merencatkan keindahan Bogor.


Oleh kerana Puncak Bogor merupakan tempat peranginan yang paling hampir dengan Jakarta, ia menjadi sasaran penduduk sekitar untuk melepaskan penat lelah hujung minggu di puncak ini. ‘Dimana ada gula disitu ada semut‘, ia terjadi di puncak ini, dimana terdapat ramai penjaja jalanan menawarkan pelbagai barangan untuk pelancong.

Tidak puas dengan Puncak Bogor, kami mula meredah sebuah penempatan yang berhampiran bagi mencari bahan yang lebih unik di Bogor ini. Kami mula meyusur lebih dalam lagi, iaitu Gunung Mas.

Mencari punca air yang mengalir melimpahi Bogor, dan Gunung Mas memaparkan kawasan penempatan penduduk Bogor yang asli. Dengan keadaan sekitar yang menghijau dengan sistem saliran air untuk bekalan penduduk dibuat secara tradisional menerusi mata air yang disalur ke paip-paip rumah.


Selain air sungai menjadi subjek utama di Gunung Mas ini, telatah penduduk dan kanak-kanak juga tidak lepas dari lensa camera.


Dan masa sentiasa cepat berlalu, kami perlu meneruskan perjalanan tanpa lengah..apa yang sempat dirakam itulah yang paling berharga buat kami. Puncak Bogor sentiasa disini untuk kami kembali, akan tetapi..bila? Hanya masa yang menentukannya, kalau ade rezeki dan panjang umur. InsyaAllah.

Date taken 10.4.2009
Sekian.





















Hujan renyai-renyai mula membasahi lensa kami, dan mulut mula berkumat-kamit meminta supaya hujan pergi.
Sayangnya hujan renyai tidak perduli. Awan agak tebal turut menjejaskan buruan subuh ini. Sempat juga melepaskan beberapa ‘das’ tembakan, sebelum bungkus segala peralatan dan bergerak pantas.

Sekali lagi hujan renyai menjadi alasan, kehilangan awan dan langit cerah menenggelamkan wajah sebenar masjid ini. Pantulan air atau reflex, tidak seindah cermin.

Destinasi hari ke-2 adalah ke Pulau Kemaro yang terletak ditengah-tengah persimpangan Sungai Musi. Manakala, perut perlu diisi sebagai bekalan di Pulau Kemaro. Jetinya terletak dibawah Jambatan Ampera.
Kami mencuba makanan ’snak’ di jeti ini. Empek-empek rasanya seperti keropok lekor dengan bercecahkan cili.
Palembang banyak menghidangkan aksi kanak-kanak yang spontan. Walaupun hidup didalam kesempitan, akan tetapi, ketika bermain adalah waktu untuk bergembira riang.
Kami menyewa sebuah bot laju yang boleh memuatkan 6 orang penumpang dengan kadar bayaran sebanyak 150,000 rupiah pergi dan balik.
Keadaan bot dengan permukaan air hanya sejengkal jari. 


Sungai Musi merupakan laluan air yang cukup sibuk, bukan saja ‘bot-bot rempit’.. bahkan, kapal-kapal besar, kapal pengangkut, bot tunda, rumah terapung dan pelbagai kenderaan air yang menjadikan sungai ini ‘trafik’

Lebih kurang 20 minit kami dihambat badai, kelihatan sayup-sayup pagoda di Pulau Kemaro yang terletak ditengah-tengah Sungai Musi. Katanya pulau ini tidak pernah ditenggelami banjir walaupun sekitar tebing Musi dilanda bah. Nama Kemaro juga berasal dari perkataan kemarau.
Mengikut kisahnya, kejadian pulau ini timbul secara tiba-tiba di Sungai Musi ini angkara cinta terhalang.







Kami meninggalkan Pulau Kemaro dengan lagendanya dan penghuni pulau keramat ini. Pulau yang sebesar Dataran Merdeka ini bakal dibangunkan dengan lebih pesat lagi, cuma pembinaan pasti mengambil masa yang agak lama selagi tenaga manusia tanpa jentera digunakan.
Dalam perjalanan pulang ke jeti Ampera, tiba-tiba bot laju menjadi perlahan dan terus terhenti dilaluan sibuk ini. Keadaan bertukar menjadi panik seketika kerana bot-bot laju dan kapal-kapal besar yang lalu-lalang disini tidak diberi amaran dan kerosakan bot kami tidak dibantu oleh ‘kon kecemasan’.. terdampar dan hanyut di tengah-tengah laluan ‘lebuhraya sungai’ ini. Mujur ada bot yang simpati, menarik bot kami ke tepian sebelum enjin bot dijana semula. Kurang pasti adakah penarik bot ini ‘tonto tarik bot’..kerana tiada sepatah perkataan pun yang tersembul di mulut beliau.

Penerbangan ke Palembang, bandar Srivijaya ini dari LCCT, KLIA hanya mengambil masa lebih kurang 45minit dengan tambang pergi-balik 300 ringgit sahaja. Agak berbaloi untuk berlibur atau dengan perkataan yang lebih tepat ‘pergi memburu’. Puas juga meredah internet mencari ‘lubuk-lubuk buruan’, ternyata kekurangan informasi yang boleh membantu ‘peta’ buruan kami.
Sungai merupakan jaringan perhubungan yang paling tua di Palembang dan masih terpenting sehingga kini. Sungai-sungai ini memaparkan aktiviti manusia yang hidup dengan alam sekitar serta menggunakan sungai sebagai sumber bekalan air.
Penduduk Palembang agak mesra dengan ‘pendatang asing’ lebih-lebih lagi kelihatan ‘gadget’ tersangkut di tengkuk. Mudah memberikan ‘post’ spontan dan suka ‘di gambarin‘ (bergambar).
Kami singgah di Muzium Srivijaya, Sumatra Selatan ini bagi menjenguk peninggalan khazanah Datuk Parameswara, founder of Kesultanan Melaka. Hampa.. ‘hidangan’ kami hanyalah sebuah ‘balairong seri’ dan seketul batu asas perasmian tapak sejarah ini oleh Suharto. Dimana Parameswara?
Tenunan Songket Palembang agak terkenal didaerah ini. Kerja-kerja menenun dilakukan oleh gadis-gadis muda yang begitu pakar bermain dengan benang. Dan kepantasan mereka menenun bukanlah jaminan menyiapkan sebidang kain songket seharian. Ia mengambil masa berbulan bagi menyiapkan 2 meter songket yang berkualiti.

Mula menyusur masuk ke Kota Palembang, maka terhidang pula pandangan yang amat biasa disetiap kota di Indonesia. Penjaja dan anak kecil meminta simpati menghiasi jalanan. Kekadang menyentuh perasaan bila melihat keadaan anak-anak kecil digendong oleh ‘ibu kecil’ yang menadah sedekah.
Jambatan kebanggan penduduk Palembang, iaitu Jambatan Ampera yang merupakan mercu ‘visata’ atau tempat yang wajib dilawati. Ia umpama Golden Gates, San Francisco, cuma jambatan yang boleh diangkat-angkat untuk laluan kapal-kapal besar sudah tidak berfungsi lagi.
Sungai yang mengalir dibawah Jambatan Ampera adalah Sungai Musi, ia begitu penting bagi pergerakkan ekonomi Palembang. Sepanjang sungai yang lebar ini kelihatan aktiviti-aktiviti perusahaan yang menjadikan sungai ini sebagai laluan utama. Pelabuhan, kilang, pasar dan rumah-rumah terapung dibina ditebing-tebing sungai.



